Wednesday 12 September 2018

My Cute Little Ariz

Assalamualaikum.. Blog ni agak panjang sebab aku nak kongsikan catatan kehidupan anak aku sepanjang rawatan di IJN hingga balik ke GH Melaka.  Pengalaman pahit manis aku bersama anak ketigaku yang disahkan menghidap Transportation of Great Arteries (TGA). Ayat lebih mudah ialah saluran arteri jantung terbalik. Aku tahu carian di halaman google pon tak banyak membantu untuk informasi bayi TGA ni terutama di Malaysia. Jadi aku harap perkongsian aku ni dapat la membantu korang yang ada masalah sama macam anak aku.

Bismillahirrahmanirrahim...


22 Februari 2017 

Tarikh istimewa yang ditunggu oleh baba, mama, dan seluruh keluarga. Lahirnya sorang lagi hero dalam family ni.  Ariz selamat dilahirkan dengan berat 2.54kg,  tapi kegembiraan kami diganti dengan dugaan yang berat bila doktor sahkan penyakit kau tu. Tercengang baba bila dengar penjelasan dari doktor yang sesungguhnya keadaan kau 50-50 dalam erti kata lain sangat kritikal. Kau perlu dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN) dengan segera. Doa dari seluruh keluarga tak putus-putus agar kau diberikan kesembuhan untuk melihat keindahan dunia ni. Sebab kau istimewa, semua urusan perjalanan kau dipermudahkan Allah.


NICU GH Melaka: hari ke 2 dilahirkan



23/2/17 [Day 2] 

Ariz dikejarkan ke IJN menaiki ambulan. Masa baba tiba di IJN, ariz dah tunggu baba kat dalam kecemasan. Sayu hati baba tengok keadaan ariz tidur dalam inkubator dengan wayar berselirat sini sana. Selesai urusan pendaftaran, ariz ditolak masuk ke PCICU (Pediatric & Cardiac Intensive Care Unit)  di Blok B tingkat 1 Katil B109 dan bermulalah pelbagai prosedur rawatan untuk menyelamatkan Ariz Zakwan. Baba dikenalkan dengan staf2 PCICU dan diberi penerangan tentang prosedur2 tersebut.

24/2/17 [Day 3] 

“Ariz Zakwan” bermaksud kuat/tabah memang dipilih agar ariz sentiasa kuat dan tabah untuk berjuang melawan sakit. Prosedur rawatan pertama yang kau lalui adalah Balloon Arterial Septostomy (BAS). Doktor yang bertugas hari iaitu Doktor Ali membuat penerangan serba sedikit tujuan BAS ni ialah untuk membuka laluan saluran oksigen. Menurut doktor, kebiasaannya kadar oksigen baby akan naik ke 80% jika guna kaedah ni. Tapi selepas prosedur BAS, oksigen ariz hanya naik 40% je. Doktor pakar dan staf berusaha melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan ariz. Baba hanya berserah pada Allah agar dipermudahkan urusan kesembuhan kau. Nasib la nenek dan mak imah kau bersama menunggu dan memberi semangat.  2 hari kemudian, mama sampai untuk jumpa ariz. Nak bagi sentuhan ‘skin to skin’ dengan ariz agar kau terus kuat untuk harungi sume ni. Alhamdulillah, oksigen ariz naik sehingga 80% dan ke atas.  

 1/3/17 [Day 7]

Harini keadaan ariz stabil. Kalau keadaan sume okay, ariz akan menjalani major operation Arterial Switch yang mengambil masa 6-8jam.  

3/3/2017 [Day 9]

Petang ni keadaan ariz normal. Bila kami datang melawat ariz bagi respon, gerak-gerak kaki tangan lepas tu dah boleh bukak mata. Senang hati kami tengok perkembangan positif tu. Susu pon dah mula minum. Ubat untuk jantung dah dikurangkan dos. Tekanan darah dan oksigen sume okay. Cuma sekarang ni tengah tunggu keputusan doktor bila major operation Arterial Switch akan dibuat. Operation ni bergantung pada keadaan baby gak, tak boleh buat suka hati tau, perlukan prosedur2 yang lebih ketat. Keputusan akan diberitahu secepat mungkin.

5/3/17 [Day 11]

Harini ariz ade kuning sikit. Jadi doktor tangguhkan major operation yang sepatutnya dijalankan esok (6/3/17). Doktor nak monitor keadaan kuning baby untuk 1 hari. Ariz dalam keadaan stabil. Tak henti2 doa dari semua agar ariz terus kuat semangat.

6/3/2017 [Day 12]

Harini dapat berita sedih yang pembedahan ariz ditangguhkan ke hari lain atas masalah kuning yang tinggi. Kemungkinan kuning ni ade kaitan dengan hati dia. Faktor2 lain sebab ariz memang dilahirkan dalam keadaan kritikal. Doktor akan teruskan pemantauan dalam 2-3 hari ni. Doktor ada cakap penggunaan “phototheraphylamp” boleh sebabkan buah pinggang kecut. Tapi tak perlu risau sebab baby banyak minum susu dan penghadaman lancar, jadi risiko tu rendah. Nak bagi tips sikit, kalau duduk IJN ni moral confirm down sebab byk fikir bukan2. So keep positive and terus bagi suntikan semangat pada anak yek walaupun bisikan ditelinga. InshaAllah anak tu dgr ape yg kita bisikan dan jgn sesekali menangis dpn ank yang sakit tu. Berfikiran positif agar cepat ank korang pulih.

7/3/17 [Day 13]

Alhamdulillah keadaan kuning ariz dah berkurang. Doktor dah umum nak buat major operation untuk Arterial Switch pada 8/3/2017 jam 9pagi. Kami sekali lagi diterangkan tentang prosedur utk operation dan dikenalkan dengan doktor pakar bedah and bius. Doktor pakar bedah diketuai oleh Dr.Sivakumar. Doktor pakar bius diketuai oleh Dr.Haifa. Serius masa ni memang emosi akan kuasai otak bila dengar penjelasan prosedur2 operation. Prosedur pembedahan jantung ni di lakukan secara bypass maknanya jantung diberhentikan dan bius diberi 5 kali dalam dari bius pembedahan biasa. Risiko tu terlalu tinggi sebab ariz memang dah kritikal sejak dilahirkan. Kesan sampingan dari pembedahan boleh berlaku bila-bila masa untuk jangka masa yang panjang. Jadi doktor nasihatkan supaya kami sekeluarga bersedia untuk sebarang risiko. Doktor akan lakukan yang terbaik untuk ariz, yang lain kami berserah je pada Allah. Hanya doa yang mampu kami dan seluruh keluarga bagi agar ariz kuat dan sume berjalan lancar.

8/3/17 [Day 14]

Hari yang di nanti untuk misi menyelamatkan Ariz. Major operation Arterial Switch mengambil masa selama 7 jam. Debaran degupan jantung hanya Allah saje yang tau, masa bersilih ganti dan kami setia menanti di WIFI Zone Aras G. Citer sikit pasal zone ni, tempat lepak rehatkan diri bila menunggu waktu melawat tiba di IJN, selain tu boleh pergi lepak makan dan minum cafe2 yang ada dalam bangunan tu. Ada food court IJN, Gloria Jeans Coffee, Bread Story, Pizza & Coffee Co dan Kampung Kraver’s. Ada kedai buah, mini market dan macam2 lagi. Banyak fasiliti di IJN yang memudahkan kehidupan anda. OK sambung kembali, Alhamdulillah Allah makbulkan doa kami sume. Ariz dah selamat menjalani pembedahan. Doktor akan pantau sepenuhnya 24jam lepas pembedahan sekiranya ada pendarahan atau jangkitan kuman. Kami bersyukur sangat pada Allah. Ariz masih dalam OT dan akan dipindahkan ke PICU untuk pemantauan.

9/3/17 [Day 15]

Kami dapat jumpa Dr.Siva yang bedah ariz tadi. So far dia cakap jantung ariz takde masalah. Kalau takde sebarang jangkitan kuman, esok dada ariz dah boleh dijahit semula. Terkejut dengar apesal dada ariz ni tak ditutup lepas pembedahan. Doktor cakap ni memang prosedur pembedahan jantung yang mana lepas bedah dada pesakit tak akan dijahit dulu sebab doktor nak pantau keadaan jantung tu ada bengkak ke tak, ada jangkitan atau pendarahan dan sebagainya. Setakat ni ariz stabil tapi oksigen masih tak stabil. Sume ubat dinaikkan ke dos yang tinggi. Nurse akan turunkan dos ubat2 tu step by step. Berharap ariz akan cepat sembuh.

10/3/17 [Day 16]

Harini dada ariz dah dijahit semula dan doktor akan pantau untuk 1 hari lagi sebab boleh terjadi jangkitan kuman atau sebagainya. Ubat masih dalam dos yang tinggi. Nurse bagi ariz ubat tido supaya tak aktif sangat. Setiap kali waktu melawat, kami akan bagi kata2 semangat kat ariz agar dia kuat dan tabah untuk kembali pulih.

11/3/17 [Day 17]

Kelegaan hati kami tak lama sebab nurse inform yang saluran oksigen ariz dah kena jangkitan kuman. Kadar jangkitan kuman tu terlalu tinggi. Semua dos ubat dan oksigen dinaikkan ke paras tinggi. Baby kena pindah ke bilik ISO PICU (Pediatric Intensive Care Unit) Room 1, bilik bebas kuman (Isolation). Nak masuk dalam tu kena prosedur ketat, pakai baju anti-statik macam baju untuk pembedahan tu. Duduk IJN semua terikat dengan prosedur. Harap semua ni akan kembali normal.

Keadaan Ariz ketika dalam bilik ISO PICU


12/3/17 [Day 18]

Keadaan ariz semakin kritikal. Jangkitan kuman dah merebak ke paru-paru. Ariz dah gunakan 100% bantuan pernafasan. Ada tambahan mesin vibration High Frequency of Vibration (HFOV) untuk bantu keluarkan kuman tu dari paru2 ariz. Hanya mampu doa dan bertawakkal pada Allah. Semoga ariz sentiasa kuat untuk melawan jangkitan kuman tu.

13/3/17 [Day 19]

Ada perkembangan positif dari ariz. Doktor cakap keputusan xray paru2 okay cuma perlu tunggu keputusan jangkitan kuman yang terkini. InshaAllah mesin vibration untuk paru2 boleh dihentikan. Degupan jantung, tekanan darah, dan oksigen kembali normal. Semoga ariz kuat untuk lawan penyakit ni.

15/3/17 [Day 21]

Alhamdulillah harini keadaan ariz semakin positif. Semuanya takde masalah. Keputusan xray paru2 pon dah normal. Ariz dah tak guna mesin vibration dan dah mula minum susu 5ml sahaja. Semua dos ubat2 akan dikurangkan secara berperingkat. Kadar jangkitan dah rendah. Alhamdulillah berkat doa sume orang, ariz semakin pulih.

16/3/17 [Day 22]

Kami dapat jumpa doktor konsultan Dr.Faizah tengah hari tadi, dia cakap situasi untuk paru2 ariz kena follow up kat GH Melaka sebab dari lahir memang ariz dah mula guna bantuan mesin vibration. Follow up akan dibuat lepas keadaan jantung ariz stabil. Ariz perlukan masa yang lama untuk belajar bernafas sendiri sebab saluran darah ke paru2 tu terbalik sejak lahir lagi. Tiub2 untuk keluarkan darah kotor dari badan dah tak guna lagi. Doktor ada bagi tambahan darah merah dan putih untuk ariz. Degupan jantung, tekanan darah, oksigen dan aliran kencing stabil. Bantuan oksigen dah turun ke 65% je. Bantuan oksigen ni dibantu oleh mesin ventilator. Doktor dan nurse akan teruskan pemantauan. Kadar jangkitan kuman kat paru2 dan darah dah makin kurang. Alhamdulillah terima kasih ya Allah. Petang ni ariz tak stabil. Karbon dioksida dalam badan sangat tinggi. Jangkitan kuman masih ada dalam paru2, jadi kena guna semula mesin vibration tu. Sejam sekali nurse akan check darah ariz dan berharap agar jangkitan berkurang lah. Ariz diberikan ubat tidur untuk rehat.

17/3/17 [Day 23]

Pagi ni ariz ada perkembangan positif. Kadar karbon dioksida dalam badan agak stabil dan masih kekal pada julat yang doktor kawal. Ariz dah minum 10ml susu jugak. Petang nya pula, keadaan semakin baik. Bantuan oksigen dah turun ke 45%. Oksigen dalam badan kembali normal. Tapi ariz ada masalah nak hadam susu pula. Lepas susu mesti muntah. Nurse akan cuba bagi susu waktu malam pula, kalau masih muntah ariz kena puasa.

18/3/17 [Day 24]

Alhamdulillah, ariz makin bertambah baik, tapi masih muntah dan berat badan confirm turun. Bantuan oksigen dah turun ke 40%. Paru2 pon dah okay. Jangkitan masih ada tapi dah kurang berbanding sebelum ni. Masa kami datang jenguk tadi ariz ada bukak mata tapi kejap je lepas tu tidur balik. Rupanya ariz dalam mode tidur lagi. Nurse masih bagi ubat tidur untuk elakkan terlalu aktif.

19/3/17 [Day 25]

Harini ariz okay je. Kadar bantuan oksigen masih sama. Mata ada celik2 kejap sebab dia tahu kami datang jenguk. Minum susu 5ml tapi muntah semula 10ml. Jadi tunggu dietitian datang untuk cuba bagi susu formula similac or susu ibu. Doktor cakap akan lakukan xray kat bahagian perut ariz nak tengok kenapa kerap muntah. Kami akan terus bagi kata2 semangat agar ariz cepat sembuh.

Berat badan susut akibat kurang nutrisi. Kulit gelap disebabkan kesan ubat antibiotik yang kuat



20/3/17 [Day 26]

Ariz mungkin akan dihantar balik ke PICU GH Melaka dalam masa terdekat sebab keadaan jantung dia makin stabil. Sekarang ni kena sambung rawatan untuk paru2 dan menyusu. So GH Melaka kena ajar ariz cara pernafasan. Untuk masalah kerap muntah tu pula, doktor akan cuba bagi susu formula khas masa menyusu. Sebelah petangnya, kadar pernafasan ariz tak berapa stabil. Kejap okay kejap tidak. Kena sedut kahak baru la nafas ariz konsisten. Ariz pon dah mula minum susu formula khas ‘Portagen – Susu tanpa lemak’. Nurse akan pantau sama ada dia muntah ke tak bila minum susu khas tu.


21/3/17 [Day 27]

Alhamdulillah ariz hanya muntah sekali je bila minum susu ‘portagen’ tu. Ariz minum susu 4 jam sekali. Karbon dioksida dalam badan terkawal. Kahak dan kuman masih ada lagi. Kulit ariz pon dah gelap disebabkan kesan ubat antibiotik. Harini ada tambahan ubat untuk rendahkan tekanan darah. Tadi kami tengok bacaan 102/88. Kecik2 dah dapat bacaan mcm orang dewasa. Kami tengok ariz dah aktif, terkebil-kebil mata pandang baba. Mulut tu kumat-kamit minum susu guna tiub. Kaki tangan tu dah aktif sangat ke sana-sini. Jangan dicabut wayar2 kat badan tu sudah ler.. hehehe. Syukur pada Allah dia dah makin sihat dan mampu hadapi ujian darinya.

22/3/17 [Day 28]

Hari bersilih ganti. Siang malam hujan panas. Pejam celik genap lah sebulan ariz membesar dekat IJN ni. Dah sebulan jugak lah kami berkampung dekat sini. Baba harap ariz dah cukup kuat lah untuk balik ke Melaka. Tapi masalah penghadaman dia masih tak selesai. Kadang tu muntah jugak masa minum susu khas tu. Kejap kena puasa, kejap menyusu semula. Doktor cakap perkembangan jantung ariz dah elok. Perut je ni tak okay lagi. Disebabkan tu kena tangguh lah nak balik Melaka. Doktor nak teruskan pemantauan untuk masalah penyusuan tu pulak. Petangnya doktor pakar dari HKL datang untuk tengokkan masalah penyusuan ariz. Masih minum susu ‘portagen’ tu dan muntah jugak lepas minum tu. Ubat antibiotik dah bertambah ke 3 jenis sebab kuman masih degil tak nak tinggalkan ariz. Seperti biasa, ariz akan aktif sekejap lepas tu tidur balik.


23/3/17 [Day 29]

Disebabkan asyik muntah je lepas susu, ariz kena puasa semula. Doktor cakap pilihan akhir untuk bantu ariz terus menyusu adalah guna JejunostomyTube (j-tube). Fungsi tube tu di tebuk pada perut direct ke usus untuk bantu baby kenyang bila menyusu dan penghadaman pon lancar. Tapi tu lah nak kena tunggu keputusan doktor pakar Paediatric HKL kalau nak buat prosedur tu. Doktor IJN  plan nak keluarkan tiub pernafasan ariz sebab nak suruh baby belajar bernafas sendiri. Jadi tunggu la esok macam mana kan. Baba nak kena balik Melaka dah, lama dah bercuti kerja ni. Ariz duduk dengan mama pulak ye. Be a good boy, stay strong!!

24/3/17 [Day 30]

Harini doktor dah bukak tiub pernafasan ariz dan mula guna Bilevel Positive Airway Pressure (biPAP) untuk bantuan pernafasan. Step by step untuk ariz belajar bernafas sendiri. Mesin ventilator dah tak guna lagi. Doktor cakap kalau ariz berjaya guna biPAP tu maknanya keadaan paru2 dia okay. Berat sekarang 2.6kg.



27/3/17 [Day 33]

Ariz masih tunggu giliran nak pindah ke HKL untuk selesaikan masalah penghadaman dia tu. Masih dipuasakan tapi nurse ada letakkan gauze yang dicelup dengan air zam-zam dekat mulut ariz. Biarkan dia hisap air mustajab tu. Jangkitan kuman masih ada dan takut boleh merebak ke dalam darah pulak. Harap ariz terus kuat untuk sembuh ye. Ramai tak sabar nak tunggu ariz balik Melaka ni. Kalau takde masalah lain, esok dah mula guna CPAP [Continuous PositiveAirway Pressure]. Fungsi seakan sama macam biPAP tapi takde rangsangan pada rongga paru2. Tiub kencing dah bukak, ariz dah boleh guna pamper je.

1/4/17 [Day 38]

Doktor tengah tunggu keputusan darah ariz, nak tahu kuman apa yang degil sangat nak keluar tu. Ariz dah guna semula BiPAP sebab dia macam penat bila guna CPAP tu. Paru2 dia masih tak bersedia nak bekerja sendiri. Takpe perlahan-lahan kayuh ye sayang. Ariz memang tido je sepanjang masa. Penat sangat la tu. Waktu melawat petang mama datang dengan baba sekali. Tiap2 minggu baba ulang alik dari Melaka ke KL. Berkorban demi Ariz untuk cepat sembuh. Bila datang melawat, Ariz macam tahu je baba dia ada, bukan main aktif lagi sampai saluran untuk sedut angin dan air dalam mulut tu tercabut. Hehehe menangis kami bila mengenangkan kisah ni. Pahit manis ketika di PICU. Terima kasih ya Allah.

3/4/17 [Day 40]

Tengah hari ni ariz dah mula guna tiub pernafasan nasal prong yang kat hidung tu. Harap paru2 ariz dah cukup matang la untuk bekerja sendiri. Platelet [Sel untuk membekukan darah] masih rendah jadi maknanya ada lagi kuman2 jahat tu haishh. Ariz masih banyak tidur je takde aktif sangat. Mama doakan semoga ariz boleh bekerjasama untuk pakai tiub nasal prong dan bernafas dengan sendiri ye dari pakai topeng dark vader tu hahaha. Unfortunately, dia suka topeng dark vader tu eh, petangnya dah kena tukar pakai biPAP tu semula. Paru2 dia masih lemah nak pam oksigen. Degupan jantung dia cecah 180. Doktor HKL pon ada call suruh bagi ariz susu 5ml dulu. Kalau tak muntah dia boleh terus minum susu untuk bagi tenaga. Mama pon dah jampi dan tiup2 sikit perut dia supaya susu yang masuk tu tak keluar semula. Ariz pon penat dan tidur je takde kerja lain heheheh.


Kecik je kan saya. Saya berusaha nak sesuaikan diri dengan tiub nasal prong ni.


4/4/17 [Day 41]

Ariz masih guna biPAP tapi kadar bantuan oksigen tu dah turun ke 35% je. Harini susu dah tambah ke 10ml yeahhhhh!! Alhamdulillah takde muntah dan penghadaman lancar. Ariz pon dah stabil cuma ada luka sikit dekat area mulut sebab pakai topeng biPAP tu. Semoga cepat sembuh hero cilik mama baba ni ye.

5/4/17 [Day 42]

Alhamdulillah ni la berita yang dinantikan selama ni. Ariz dah boleh balik Melaka, rumah kedua dia a.k.a GH Melaka. Walaupon tak balik rumah lagi sekurangnya dekat dah dengan rumah. Senang keluarga nak datang jenguk ariz. Kesian abang2 ariz dah lama tak jumpa mama dia. Penghadaman dah okay. Minum susu 3 jam sekali. Dah nak balik ni paru2 dia pon dah kuat, dah boleh guna tiub nasal prong je. Semoga perjalanan balik dipermudahkan Allah. Kami pon nak ucapkan ribuan terima kasih pada staff2 IJN yang prihatin pada ariz ni. Berita kepulangan ariz ke GH Melaka membuatkan staff2 IJN sedih campur gembira. Iye la ariz ni kira ‘longest resident’ sebab dah duduk lame dalam PICU. Diorang dah anggap ariz ni macam anak sendiri. Terharu kami dibuatnya. Terima kasih sekali lagi!!!!!

Yeahhh!! Nak balik Melaka.. doktor dan nurse dah siapkan saya.


6/4/17 [Day 43]

Bermula lah kehidupan ariz di GH Melaka. Sampai kat Melaka dah petang dalam pukul 6 gitu. Ariz duduk bilik khas di aras 1-4 wad paediatric. Masih kekal guna tiub nasal prong untuk bernafas dan minum susu protogen 15ml setiap 3 jam. Alhamdulillah sistem penghadaman, tekanan darah dan oksigen dah normal. Cuma berat je turun ke 2.1kg. Mama dah boleh tidur sekatil dengan ariz. Harap proses pemulihan tu lagi cepat sebab mama dah bagi belaian sepenuhnya macam baby biasa. Abang ariq dan abg ayen pon dah jumpa ariz. Bukan main seronok lagi dapat baby baru.

“oohh, ni la abg2 saya eh”.. abg ariq, baby ariz, dan abg ayen. Ni gambar masa nak balik rumah da saje je nk interframe abg2 ariz hehehe.


10/4/17 [Day 47]

Dah 4 hari ariz dekat Melaka ni, duduk wad biasa je. Ramai yang datang jenguk. Ariz dalam proses pemulihan lagi, jadi dia senang untuk dijangkiti kuman. Malam ni ariz kena masuk PICU, bilik ni terletak di aras 1-4 gak, doktor suspek ada jangkitan kuman yang kembali, jantung bengkak sikit, platelet rendah semula sebab demam. Degupan jantung naik ke 188 tapi sekarang ni demam dah kebah. Doktor pakar cakap untuk kebaikan, ariz kena masuk PICU untuk mencegah jangkitan kuman tu merebak. Berat dah bertambah ke 2.51kg. Minum susu dah 20ml. Proses buang air lancar. Buat masa ni doktor tak benarkan sebarang lawatan dari orang luar kecuali mama baba je. InshaAllah doktor akan pantau keadaan ariz sehingga kembali normal. Semoga ariz cepat sembuh ye hero cilik mama baba ni.
Masa duduk dalam wad PICU Aras 1-4 Melaka


Baba mama belikan saya puting kopet. Puting nak sama besar dengan muka hehehe


13/4/17 [Day 50]

Hari ke-3 ariz dalam PICU, doktor pon dah jumpa mana kuman tu duduk. Kuman tu ada kat line masuk ubat kat peha kanan ariz. Bila line tu dah bukak, kaki ariz pulak bengkak dan ada darah beku. Jadi doktor minta izin nak masuk ubat cair darah dan semestinya risiko sangat tinggi untuk hero mama ni. Kite tawakkal je pada Allah masa masukkan ubat tu. Sekarang ni berat dah naik dari 2.46kg ke 2.53kg. Lain2 tu sume dalam keadaan terkawal. Susu pon dah tambah ke 40ml. Dah pandai hisap puting kopet hhahahaa. Semoga ariz berjaya tempuh segala ujian dari Allah. Allah yang berikan penyakit tu, jadi Allah jugak la mampu menyembuhkan ariz.

18/4/17 [Day 55]

Pagi ni ariz check-up untuk echodiagram di IJN. Ariz je naik ambulance, kami naik kereta jer. Sampai pon dah tengah hari, jadi menunggu la kami untuk nama ariz dipanggil. Bila sampai turn ariz, doktor pon check la ariz guna mesin echodiagram tu. Ntah apa la doktor tu scan pastu tekan2 itu ini, kami pon tak paham. Si hero cilik kami ni pon jadi tak selesa, so apa lagi melalak la dia dengan suara yang cute je tu hhahahaha. Sampai masa doktor terangkan pada kami, dia cakap jantung ariz semua elok je. Takde apa2 yang abnormal pada jantung tu macam bengkak ataupon jangkitan kuman. Doktor sahkan yang jantung budak bertuah ni dalam keadaan normal. Alhamdulillah lega kami dengar. Akhirnya jerit-perih yang dilalui ariz dan kami sekeluarga berakhir dengan gembira. Ariz dah tak perlu check-in IJN lagi. Sekarang hanya perlu habiskan rawatan di GH Melaka je la. Tak sabar nak balik rumah. Semoga cepat sembuh hero kami ni.


9/5/17 [Day 76]

Kepulangan ariz ke rumah memang di nantikan oleh seluruh keluarga. Doktor dan nurse tumpang gembira.  Diorang dah anggap ariz ni macam anak sendiri. Terharu kami dibuatnya. Kami senang berurusan dengan staff2 pediatric aras 1 wad 4. Terima kasih di atas sokongan dan perkhidmatan yang diberikan sepanjang ariz disitu. Terima kasih!!!!!Hooray dah balik rumah walaupon mulut saya masih pakai Infant Feeding Tube. Janji cover comel hehehe.



Gambar2 sebelum discaj GH Melaka dan Mulut saya di pasang tiub..still comel kan.




Maka berakhirlah kisah perjalanan hidup Muhammad Ariz Zakwan selama 42 hari di IJN dan 34 hari di GH Melaka. Pelbagai rintangan dan dugaan kau hadapi, Alhamdulillah kini setelah 1 tahun 6 bulan kau terus membesar dengan sihat dan kuat. Macam2 keletah kau buat. Bila tengok keadaan kau yang sekarang kami seakan terlupa yang kau pernah melalui hari2 yang berliku untuk meneruskan kehidupan kau. Doa dari semua yang menyayangi kau, agar kau terus kuat dan tabah walau apa jua yang berlaku. Kuat dan tabah seiring dengan maksud nama kau ARIZ ZAKWAN.

macam2 keletah hero cilik ni
banyak akal dia sekarang.. pening nak layan

Raya tahun 2018

Raya pertama bersama Ariz

 


Terima kasih sebab sudi baca entri ni. Bagi korang yang ada masalah sama macam anak aku, jangan risau, insha'Allah semua akan pulih seperti sediakala. Kita ikhtiar semana mampu. yang lain kita serahkan pada Allah. Nak pesan, sentiasa kuatkan semangat dan stay positive. Biar aura positif tu mengalir pergi kat anak kita yang sakit tu agar cepat pulih. Lastly, aku doakan anak2 istimewa ni akan kuat dan tabah mengharungi ujian dan akan kembali sihat, ceria sama macam anak aku, Muhammad Ariz Zakwan.